Pengalaman Praktikal 3 Bulan..

Syukur kerana gua telah selamat menjalani praktikal selama 3 bulan dengan jayanya. Kalau nak share memang payah juga tapi, keseluruhannya ok juga. Justeru itu, gua share kan pengalaman 12 minggu praktikal gua dalam bentuk refleksi jurnal. Ni kira antara task yang telah diminta oleh pihak IPTAR buat. So I sharekan just kepada para pembaca yang sudi membaca... Layan..........

P/s: Sori sekiranya penggunaan ayat skema....

MINGGU PERTAMA (30 JUN 2008-4 JULAI 2008)

Pada minggu ini adalah merupakan minggu pertama saya dan rakan-rakan guru pelatih yang lain berada pada di sekolah tempat kami menjalani latihan praktikum selama 3 bulan, iaitu di SK. St. Luke, Sri Aman. Seperti biasa, pada minggu ini kami melaksanakan tugas-tugas yang sepatutnya seperti melapor diri kepada pihak pentadbiran sekolah, mendapat jadual waktu mengajar daripada penolong kanan 1 dan yang paling penting sekali iaitu berjumpa dengan guru pembimbing bagi subjek major dan minor.Selepas itu pada minggu ini saya mengambil kesempatan untuk meninjau kelas yang bakal saya ajar pada minggu hadapan. Saya telah dimaklumkan oleh guru pembimbing saya yang kelas yang akan saya ajar adalah merupakan kelas lemah, yakni para pelajar di sana mengalami masalah kesukaran untuk memahami pengajaran dengan cepat berbanding kumpulan pelajar yang lain.


Saya berasa tugas seorang guru untuk mengajar kelas ini sungguh mencabar. Saya rasa terharu kerana guru yang mengajar di kelas lemah ini mengajar para murid dengan bersungguh-sungguh serta berdedikasi.

Bagi saya ini adalah bukan masalah besar tetapi lebih kepada suatu cabaran buat saya untuk menyediakan rancangan pengajaran serta alat bantu mengajar yang mampu memudahkan mereka memahami apa yang diajar oleh saya. Memang saya akui, di IPTAR ada dilaksanakan sesi pengajaran makro serta mikro, tetapi suasananya jauh berbeza berbanding situasi sebenar kerana murid pada sesi pengajaran makro adalah merupakan rakan guru pelatih sendiri, maka sudah pasti respon mereka terhadap sesi pembelajaran adalah berbeza.

Saya bercadang untuk untuk mengkaji karekor para murid tempat saya mengajar ini satu persatu agar saya dapat mengawal mereka dari segi tingkah laku mahupun pembelajaran.

Saya akan berjumpa dengan guru kelas serta guru pembimbing untuk mendapatkan pandangan mereka terhadap murid di kelas tersebut. Apapun, saya tidak sabar untuk memulakan latihan mengajar dalam kelas pada minggu hadapan dan saya berharap segala teori pembelajaran dan pengajaran yang dipelajari di IPTAR mampu diaplikasikan pada waktu pengajaran.

JURNAL MINGGU KEDUA (7 JULAI 2008- 11 JULAI 2008)

Pada minggu ini juga saya dan salah seorang rakan guru pelatih saya telah diamanahkan oleh pihak sekolah untuk mengendalikan aktiviti gerko iaitu Kelab Sepak Takraw. Namun begitu, kemudahan fizikal bagi menjalankan aktiviti sepak takraw di sekolah ini kurang memuaskan.

Walau bagaimanapun, saya rasa amat gembira kerana saya dapat mengajar para murid teknik asas sepak takraw kepada para murid. Tidak sia-sia saya menjalani gerko sepak takraw di IPTAR. Pada pihak murid-murid pula, mereka berasa sungguh seronok untuk mempelajari teknik asas sepak takraw kerana selama ini mereka tidak pernah didedahkan dengan teknik asas sepak takraw sepanjang mereka mengikuti aktiviti gerko sepak takraw.

Dalam aktiviti sepak takraw ini juga, saya dan rakan guru telah mendedahkan para murid dengan permainan sepak raga bulatan, iaitu permainan tradisional yang telah dimain sejak berates-ratus tahun dahulu. Para murid pula berasa gembira kerana dapat mempraktikkan teknik-teknik asas yang dipelajari sebelumnya pada permainan kecil ini.

Saya dan rakan guru pelatih bercadang untuk memperkenalkan teknik-teknik asas yang lain lagi kepada para murid seperti melibas dan menghadang.

Saya dan rakan guru pelatih akan melaksanakan aktiviti ini pada aktiviti gerko sepak takraw pada perjumpaan minggu hadapan.

MINGGU KETIGA (14 JULAI 2008-18 JULAI 2008)

Pada minggu ini adalah merupakan minggu ketiga saya menjalani latihan praktikum di SK. St Luke, Sri Aman. Pada kali ini saya berpeluang untuk mengikuti slot “Randau Pendidikan” yang diadakan khas buat guru-guru untuk menyalurkan segala info terkini mengenai isu-isu semasa pendidikan yang berlaku di SK St. Luke khususnya serta di Sarawak amnya melalui guru-guru yang telah menghadiri sebarang kursus yang dianjurkan oleh Jabatan Pendidikan Negeri.

Saya berasa terharu kerana kesudian pihak sekolah untuk menjemput saya dan rakan guru pelatih yang lain untuk turut serta menghadiri slot ini.

Pada pandangan saya, majlis randau ini sangat berfaedah kepada para guru sekolah kerana ia merupakan medium bagi guru untuk untuk berkongsi maklumat serta isu terkini terkini mengenai dunia pendidikan. Pada masa itu juga segala aktiviti sekolah dibincangkan bersama. Pada majlis kali ini, kami telah diberi kepercayaan untuk menjayakan minggu motivasi pelajar menghadapi UPSR pada minggu hadapan.

Saya bercadang untuk mendapatkan Penolong Kanan Ko Kurikulum bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai tugas yang akan kami buat semasa minggu motivasi itu kelak

Saya bercadang untuk melaksanakan tugas saya seperti yang dikehendaki oleh pihak pentadbir sekolah semasa menjalani aktiviti minggu motivasi kelak.


MINGGU KEEMPAT (21 JULAI 2008-25 JULAI 2008)

Pada minggu ini adalah merupakan minggu ketiga saya menjalani latihan praktikum di SK. St Luke, Sri Aman. Pada kali ini saya diberi amanah oleh pihak sekolah untuk menjadi pengacara majlis dalam dua acara iaitu pada perhimpunan sekolah serta pada Minggu Motivasi UPSR SK. St Luke. Untuk minggu motivasi ini, saya juga ditugaskan menjaga bahagian teknikal di hari saya bertugas menjadi pengacara majlis.

Saya berasa terharu kerana pihak sekolah telah mengamanahkan saya mengendalikan acara-acara tersebut yang saya rasa merupakan antara acara yang terpenting di sekolah.

Pada pandangan saya, tugas guru di sekolah bukan setakat mengajar malah seseorang guru itu haruslah menjadi seseorang yang serba boleh dalam apa jua bidang kerana jika seseorang guru itu serba boleh, sudah tentulah pelbagai perkara yang bermanfaat kepada para murid di sekolah ini dapat dilaksanakan tanpa sebarang karenah dan masalah.

Saya bercadang untuk mendapatkan perkara penting bagi pengacara majlis seperti atur cara majlis daripada penolong kanan dan alatan siaraya serta LCD dan computer riba bagi majlis motivasi daripada AJK Teknikal Minggu Motivasi UPSR SK. St Luke.

Saya bercadang untuk melaksanakan tugas saya seperti yang dikehendaki oleh pihak pentadbir sekolah bagi kedua-dua acara.

MINGGU KELIMA (28 JULAI 2008-1OGOS 2008)

Minggu ini saya menjalankan tugas mengajar seperti biasa. Saya telah memasuki kelas 4 Cempaka untuk kelas sains. Semasa mengajar, kelas sangat bising walaupun saya telah mempraktikkan segala teori psikologi pendidikan yang telah diajar di institut perguruan. Malah ada murid yang sengaja mengajuk percakapan saya semasa mengajar. Saya telah memberi amaran kepada mereka tetapi mereka langsung tidak mendengar.

Saya berasa sangat geram kerana mereka seolah-olah tidak menghormati saya. Mungkin kerana saya terlampau berlembut dengan mereka pada pengajaran yang lepas. Namun begitu saya masih bersabar.

Saya menyedari bahawa apa yang diajar semasa teori bukanlah semudah yang disangka semasa berada dalam keadaan situasi sebenar. Saya juga menyedari bahawa daya pemikiran dan tingkah laku murid-murid semasa zaman saya adalah berbeza dengan murid-murid zaman sekarang.

Saya bercadang untuk memberikan hukuman kepada mereka. Hukuman itu mestilah tidak berbentuk kekerasan tetapi lebih kepada menyedarkan mereka tentang kesalahan mereka.

Dengan nada tegas, saya telah mengarahkan murid-murid supaya berdiri di luar kelas sehingga kelas tamat. Pada mulanya mereka enggan tetapi saya memberikan mereka opsyen, samada berdiri di luar kelas atau dibawa menghadap guru besar. Akhirnya mereka akur kepada arahan saya. Bagi murid-murid yang lain saya telah memberi kata dua samada mengubah sikap mereka atau mengikuti rakan mereka berdiri di luar. Di akhir kelas saya memberi kata dua kepada semua murid iaitu sekiranya mereka tidak mengubah sikap mereka saya meminta mereka agar tidak memasuki kelas saya kerana saya tidak akan teragak-agak untuk menghukum mereka sekiranya mereka mengulangi perbuatan yang sama.


MINGGU KEENAM (4 OGOS 2008-9 OGOS 2008)

Pada minggu ini merupakan minggu keenam saya menjalani latihan praktikum di SK. St Luke, Sri Aman. Pada kali ini saya dan rakan guru pelatih telah menawarkan diri untuk membuat lukisan mural di sekolah tersebut bagi menambahkan keceriaan sekolah. Selain lukisan mural, kami juga telah menawarkan diri untuk membuat papan jalan yang mengandungi nilai-nilai moral untuk rujukan para murid setiap kali mereka melalui kawasan berkoridor.

Saya berasa bangga kerana dapat memberikan sumbangan kepada pihak sekolah bukan setakat waktu mengajar, bahkan juga selepas waktu mengajar.

Pada pandangan saya, tugas guru di sekolah bukan setakat mengajar malah seseorang guru itu boleh mencurahkan bakti dan sumbangan mereka di luar waktu mengajar seperti membuat kerja-kerja yang memberi manfaat kepada pihak sekolah secara langsung dan para murid secara tidak langsung.

Saya bersama-sama rakan guru pelatih bercadang untuk membuat mural yang berasaskan alam sekitar di kawasan kelas pra sekolah, dan kelas 1T dan kelas 1C terlebih dahulu. Kemudian baru ia disusuli dengan projek papan tanda di sekolah sejurus mural ini siap.

Saya dan rakan guru pelatih telah bersama-sama mengecat semula dinding kelas yang akan dilukis dengan lukisan mural. Selepas itu, sebaik sahaja cat kering, kami akan mula melukis lakaran kasar mural tersebut. Pada masa yang sama kami juga mengambil kesempatan untuk mengecat papan nama sebelum kami menulis nilai-nilai murni agar ia nampak lebih ceria dan menarik.


MINGGU KETUJUH (11 OGOS 2008-15 OGOS 2008)

Pada minggu ini merupakan minggu ketujuh saya menjalani latihan praktikum di SK. St Luke, Sri Aman. Pada minggu ini saya telah diselia oleh pensyarah minor, iaitu Puan Mitty Chai. Selepas mengajar Puan Mitty telah menunjukkan saya beberapa kelemahan-kelemahan yang beliau dapati ketika saya mengajar. Namun begitu, beliau telah memberikan tips-tips yang boleh saya gunakan ketika mengajar Bahasa Inggeris. Sebelum beliau beredar beliau sempat memberikan kata-kata semangat kepada saya supaya gigih mengajar.

BISIKAN HATI/EMOSI/PERASAAN

Pada mulanya saya berasa kecewa kerana segala persiapan yang telah lakukan seolah-olah sia-sia sahaja. Namun begitu setelah difikirkan yang sebagai bakal guru, saya tidak boleh mengalah begitu sahaja. Justeru itu saya mengambil pendekatan iaitu segala yang terjadi saya anggap sebagai pencetus semangat untuk melakukan yang lebih terbaik pada masa akan datang.

KEFAHAMAN BARU/KESEDARAN

Bukan mudah untuk menjadi guru yang cemerlang. Ia memerlukan pengorbanan yang tinggi, masa yang panjang serta komitmen yang berterusan. Dengan kata lain pengalaman-pengalaman yang saya lalui sekarang patut saya hargai kerana pengalaman sebeginilah yang mematangkan diri saya sebagai seorang guru.Apabila saya menjadi guru yang sebenar saya berazam untuk menjadi guru kebanggaan pihak sekolah, para murid dan penjaga.

CADANGAN

Saya akan meneliti balik cadangan-cadangan yang telah Puan Mitty tuliskan untuk saya. Saya akan menganalisa apakah aktiviti-aktiviti yang dicadangkan yang sesuai dengan topik yang diajar

TINDAKAN

Saya akan melaksanakan aktiviti-aktiviti yang dicadangkan di dalam kelas bahasa Inggeris peringkat demi peringkat.

MINGGU KELAPAN (25 OGOS 2008-29 OGOS 2008)

Pada minggu ini merupakan minggu kelapan saya menjalani latihan praktikum di SK. St Luke, Sri Aman. Seperti biasa saya dan rakan guru pelatih mengadakan aktiviti gerko sepak takraw. Apa yang menarik pada kali ialah pertambahan murid yang mengikuti aktiviti gerko ini, malah ada yang mengikuti aktiviti ini adalah dari kelab yang lain.

BISIKAN HATI/EMOSI/PERASAAN

Saya berasa sangat gembira dan terharu apabila mendapat tahu ada murid yang mahu mengikuti kelab sepak takraw setelah tertarik melihat aktiviti yang saya dan rakan saya jalankan pada perjumpaan yang sebelumnya.

KEFAHAMAN BARU/KESEDARAN

Sebagai bakal guru sekiranya kita bersungguh-sungguh melakukan aktiviti-aktiviti seperti kegiatan gerko, ia mampu untuk menarik perhatian para murid, malah murid itu sendiri akan berebut-rebut mahu mengikuti kelab tersebut. Begitu juga ketika mengajar, jika kita bersungguh untuk mengajar, sudah tentu para murid menghargainya walaupun secara tidak langsung.

CADANGAN

Saya bercadang akan menambahkan lagi aktiviti-aktiviti menarik di dalam sepak takraw seperti permainan kreatif sepak takraw, strategi permainan dan cara pengadilan. Pada masa yang sama akan cuba “menyerap” semangat ketika mengajar sepak takraw ini ke dalam sessi pengajaran saya semasa di kelas.

TINDAKAN

Saya akan melaksanakan aktiviti yang dirancang pada sesi latihan akan datang.



MINGGU KESEMBILAN (1 SEPTEMBER 2008-5 SEPTEMBER 2008)

Pada minggu ini merupakan minggu kesembilan saya menjalani latihan praktikum di SK. St Luke, Sri Aman. Selama saya berada di sekolah tersebut, menerima tugasan “sit it” adalah merupakan perkara rutin dalam sekolah terutamanya memasuki kelas guru yang pergi menghadiri bengkel, kursus dan sebagainya. minggu ini saya mendapat sit in kelas yang bukan saya ajar.

BISIKAN HATI/EMOSI/PERASAAN

Saya berasa bercampur baur apabila mendapat sit in kelas yang bukan saya ajar. Jika kelas yang saya ajar saya sit in, biasanya saya akan mengadakan ulangkaji matapelajaran yang saya ajar. Tetapi bagi bukan kelas yang saya ajar saya biasanya agak buntu.

KEFAHAMAN BARU/KESEDARAN

Sebagai bakal guru, sit in adalah merupakan suatu perkara yang tidak dapat dielakkan. Dengan adanya sit in, ia mampu untuk mengelakkan kelas tersebut daripada menjadi bising atau tidak terkawal akibat ketiadaan guru yang sepatutnya mengajar pada waktu tersebut.

CADANGAN

Saya bercadang akan memanfaat masa sit-in ini dengan aktiviti yang berfaedah bagi pelajar.

TINDAKAN

Saya akan melaksanakan aktiviti-aktiviti seperti nyanyian, kuiz, melukis dan sebagainya di kelas yang saya sit in itu.

MINGGU KESEPULUH (8 SEPTEMBER 2008-12 SEPTEMBER 2008)

Pada minggu ini merupakan minggu kesepuluh saya menjalani latihan praktikum di SK. St Luke, Sri Aman. Pada minggu ini, saya telah diberi kepercayaan oleh guru pembimbing saya untuk menyediakan kertas ujian bulanan bagi kelas yang saya ajar.

BISIKAN HATI/EMOSI/PERASAAN

Saya berasa sedikit gementar kerana ini kali pertama saya menyediakan kertas ujian tetapi pada masa yang sama sedikit gembira kerana guru pembimbing telah meletakkan kepercayaan kepada saya untuk menyediakan kertas ujian.

KEFAHAMAN BARU/KESEDARAN

Sebagai bakal guru, menyediakan kertas ujian bulanan ataupun peperiksaan adalah merupakan suatu perkara yang ditempuhi. Ujian bulanan adalah merupakan salah suatu medium bagi guru untuk menguji kefahaman murid-murid tentang beberapa topik yang telah diajar selepas ujian terdahulu diadakan. Justeru itu, ketika membuat kertas ujian bulanan itu seseorang guru itu perlu mengetahui apakah subjek yang telah diajar, aras soalan yang akan diuji serta kemampuan murid-murid dalam menerima ilmu yang diajar.

CADANGAN

Memandang saya mengajar dua buah kelas yang mempunyai tahap kecerdasan yang berbeza, saya bercadang untuk menyediakan dua set kelas ujian bulanan yang berbeza mengikut kelas.

TINDAKAN

Saya menemui guru pembimbing saya mengenai perkara tersebut. Sekiranya dipersetujui saya akan melaksanakan cadangan saya itu tadi.

1 Response to "Pengalaman Praktikal 3 Bulan.."

  1. jesica says:
    August 28, 2013 at 6:29 AM

    saya menjalankan praktikal saya di Kolej Vokasional Kuching. Benar kata cikgu, apa yang kita pelajari di kelas berbeza sekali dengan masa praktikal. Kelas yang saya ajar ketika itu seramai 37 org, combined 2 classes. Ya ampun, hari pertama mengajar memang parah. Tapi untuk kelas yang seterusnya, saya perbanyakkan aktiviti kumpulan. Lepas itu barulah kelas menjadi aman sentosa. Memang mencabar...